top of page

Perutusan Pengerusi

dr khairul.jpg
mtaabs.png

Kesan Fahaman Jabariyyah: Halangan Kepada Cara Berfikir Masyarakat Melayu

-Dr. Khairulnizam Mat Karim

Pendahuluan

Aliran Jabariyyah telah muncul pada akhir zaman pemerintahan Bani Umayyah dan juga merupakan salah satu aliran pemikiran yang terawal dalam sejarah pemikiran Islam. Walaupun arus penguasaan pemikirannya telah berlalu dan hanya menjadi tatapan mahupun rujukan masa kini, tetapi fahaman ini seakan-akan mempengaruhi corak berfikir segelintir masyarakat Melayu hari ini. Dilihat bahawa fahaman ini membawa kesan buruk kepada corak dan bentuk pemikiran masyarakat Melayu sehingga melemahkan bangsa Melayu untuk berkembang maju dan bersaing dalam era globalisasi atau dunia tanpa sempadan kini.

Satu artikal telah ditulis oleh Prof. Madya Dr. Wan Zailan Kamarudddin Wan Ali berkenaan perbahasan ini di bawah tajuk “ Aliran al-Mujbirah dan Kesan Pemikirannya di Malaysia. Dalam artikalnya beliau telah cuba menghurai perkembangan aliran ini dan menganalisa kesan-kesannya kepada dunia Islam dan juga kesannya di Malaysia. Tetapi beliau tidak menghuraikannya dengan terperinci terutama isu yang berkaitan dengan budaya masyarakat Melayu itu sendiri. 

Maka dalam kertas kerja ini, fokus akan diberikan kepada menghuraikan bentuk budaya Masyarakat Melayu terutama dalam aspek cara berfikir yang mempunyai hubungkait dengan fahaman Jabariyyah. Di samping itu penulis juga akan menghuraikan secara ringkas bentuk pemikiran Jabariyyah yang dikatakan mempengaruhi pemikiran segelintir masyarakat Melayu kini, di samping melihat sejarah, tokoh dan apakah kaitan pemikiran Jabariyyah dengan pemikiran masyarakat Melayu. Di samping itu penulis akan cuba melihat idea yang cukup menarik untuk diteliti iaitu pembentukan Minda Melayu Baru dalam era globalisasi. Idea ini pada hakikatnnya mempunyai hubungkait yang rapat dengan penekanan aspek Pemikiran Kritis yang diusahakan oleh golongan akademik di negara kita terutama ingin melihat dari aspek Islam. Penulis juga akan cuba melihat beberapa kesan pengaruh pemikiran Jabariyyah dalam beberapa bidang sehingga menjadi halangan kepada perkembangan dan corak berfikir masyarakat Melayu untuk menjadi satu bangsa yang maju. 

Walaupun tulisan ini terhad dengan batasan sebuah kertas kerja, namun ianya harus dilihat sebagai aspek penting dalam proses perkembangan pemikiran khususnya dalam masyarakat Melayu yang pada masa kini dilihat ketinggalan dalam banyak aspek. Tetapi harus diingat walaupun penekanan dan galakan diberikan dalam membudayakan pemikiran kritis mahupun kreatif, falsafah asas kehidupan(philosophical foundation) seperti konsep tauheed uluhiyyah, tauheed rububiyyah, khilafah, tazkiyyah an-nas dan al-falah harus dijadikan tunjang kepada perkembangannya agar tidak tersasar daripada cara berfikir yang dipaparkan di dalam Al-Quran.

ALIRAN JABARIYYAH: SATU ANALISIS KONSEPTUAL

1.1 Definisi

 

Aspek awal yang harus diperhalusi dalam perbincangan ini adalah aspek definisi. Melalui definisi perbincangan seterusnya akan lebih jelas dan mudah difahami. Aliran Jabariyyah, al-jabariyyah atau terdapat juga di dalam sumber lain disebut sebagai al-Mujbirah berasal daripada satu perkataan al-jabr, iaitu dari sudut bahasanya bermaksud “terpaksa” atau “tiada kehendak” dan “tiada kebebasan”. Dalam Lisān al-‘Arab memberi maksud kekuasaan Allah di atas ciptaanNya sama ada di atas apa yang dikehendaki daripada suruhan mahupun larangan . Di dalam istilah bahasa Inggeris ia disebut sebagai “fatalism” atau “predestination”. Di samping itu ia juga ada hubungkait dengan persoalan al-Qadr iaitu sesuatu ketetapan yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T kepada sekelian ciptaannya termasuk manusia sejak awal penciptaannya.

 

Walaupun pada awal kemunculan, ia adalah sekadar fahaman yang mengemukakan bahawa manusia tidak mempunyai kuasa mahupun upaya dalam menentukan kehendak dan perbuatan. Ini bermaksud segala perbuatan adalah terpaksa atau terikat dengan kehendak mutlak Pencipta iaitu Allah S.W.T dan manusia tidak mempunyai sebarang ikhtiar ke atas dirinya . Kemunculan aliran ini juga adalah hasil daripada persoalan agama yang bekaitan dengan Aqīdah di samping perkembangannya dipengaruhi oleh sistem politik Islam iaitu aspek kepimpinan , Imamah atau Khilafah semasa pemerintahan Bani Umayyah. Manakala Harun Nasution di dalam buku beliau yang bertajuk Teologi Islam, Aliran-aliran Sejarah Analisa Perbandingan mengemukakan hujah yang menarik untuk dilihat bahawa fahaman Jabariyyah ini telah dianuti oleh masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam lagi.
 

Beliau menulis:

“Bangsa Arab, yang pada waktu itu bersifat serba sederhana dan jauh dari pengetahuan, terpaksa menyesuaikan hidup mereka dengan suasana padang pasir, dengan panasnya yang terik serta tanah dan gunungnya yang gundul. Dalam dunia demikian, mereka tidak banyak melihat jalan untuk mengubah keadaan sekeliling mereka sesuai dengan keinginan mereka sendiri. Mereka merasa dirinya lemah dan tak berkuasa dalam menghadapi kesukaran-kesukaran hidup yang ditimbulkan suasana padang pasir. Dalam kehidupan sehari-hari mereka banyak tergantung pada kehendak natur. Hal ini membawa pada sikap fatalistis”
 

Di dalam kertas kerja ini penulis tidak akan membincangkan aspek sejarah terutama di sekitar sejarah Bani Umayyah, di mana munculnya aliran ini, tetapi perbincangan akan difokuskan kepada bentuk pemikiran atau fahaman yang dibawa oleh beberapa tokoh dalam aliran ini yang dilihat mempengaruhi cara berfikir masyarakat Melayu sebagaimana yang dijelaskan di dalam pendahuluan di atas.

1.2 Pengasas dan Pemikiran Jabariyyah

Di dalam bahagian ini akan dipaparkan tokoh-tokoh awal Jabariyyah serta dasar pemikiran yang dibawa. Walaupun pada hakikatnya setiap daripada peneraju aliran ini mempunyai beberapa dasar pemikiran yang popular yang diikuti oleh pengikutnya tetapi penulis akan memfokuskan hanya dasar pemikiran yang melibatkan persoalan berkaitan perbuatan manusia(af’al al- ‘ibat) dengan perbuatan Allah(af’al Allah). Ini adalah kerana atas dasar pemahaman inilah penulis melihat ianya mempengaruhi cara berfikir segelintir masyarakat Melayu di samping budaya yang didokongi oleh mereka.

 

1.2(a)Aliran Al-Jahmiyyah dan Pemikirannya

Aliran Jabariyyah telah mula dipaparkan di dalam sejarah teologi Islam ialah oleh Ja’d Ibn Dirham dan ia telah dikembangkan dengan hebatnya oleh Jahm bin Safwan al-Rasi. Seterusnya aliran ini digelar sebagai alilran al-Jahmiyyah bersempena dengan nama beliau. Aliran ini adalah sebuah aliran yang radikal dan ekstrem. Dalam aspek yang ingin dibincangkan dalam kertas kerja ini iaitu persoalan perbuatan manusia(afal al-ibat), bahawa manusia tidaklah mempunyai kebebasan, kehendak, kemampuan(al-istiţa’ah) mahupun daya usaha sendiri. Di samping itu manusia juga dikatakan tidak mempunyai ikhtiar atau pilihan. Maka segala apa yang dilakukakan oleh manusia adalah dipaksa(majbur) dengan tiada kemahuan dan pilihan baginya . Segala perilaku dalam sesuatu yang berlaku adalah telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Maka segala perilaku manusia itu hanyalah simbolik semata-mata atau kiasan seperti mana peredaran bumi, terbit dan terbenamnya matahari serta pasang dan surutnya air laut yang semua itu di dalam kawalan dan ketentuan Allah. Selain itu ia juga termasuk dalam melaksanakan kewajipan, menerima pahala dan dosa .

Dalam pernyataan yang lebih radikal sifatnya, mereka beranggapan bahawa kalau mereka mencuri maka Allah yang mencuri, kalau mereka sembahyang maka Allah yang sembahyang, kalau mereka berpuasa maka Allah yang berpuasa dan begitulah seterusnya. Sehinggakan terdapat segelintir daripada mereka mempunyai fahaman yang lebih dalam iaitu menyatukan dirinya dengan kewujudan Allah. Mereka berkata “wujudnya dan wujud Tuhan satu” . Ini juga adalah tergolong dalam golongan yang mempercayai konsep Wahdatul Wujud sebagaimana yang dibincangkan di dalam perbincangan Tasawwuf.

1.2(b) Aliran Al-Najjariyyah dan Pemikirannya.

Al-Husayn bin Muhammad al-Najjar adalah pelopor kepada kumpulan kedua dalam aliran al-Jabariyyah. Selain dipanggil sebagai al-Najjariyyah ia juga dikenali sebagai al-Husayniyyah sempena nama beliau. Syahrastani di dalam kitabnya al-Milal wa al-Nihal berpandangan bahawa aliran yang dibawa oleh al-Husyan ini adalah aliran yang pertengahan atau moderat sifatnya.

Mengenai persoalan perbuatan manusia(af’al al-‘ibad) dan perbuatan Allah(af’al Allah), beliau mengatakan bahawa Allah berkuasa sepenuhnya mencipta setiap perbuatan manusia sama ada baik atau pun buruk iaitu sama sebagaimana pemikiran yang dibawa oleh Jahm bin Safwan. Tetapi yang membezakan di antara kedua-duanya ialah berkenaan persoalan kasb atau acquisition . Ini bermaksud manusia mempunyai pengaruh kepada kekuasaan baru dalam kewujudan perbuatan-perbuatan mereka. Walaubagaimanapun setiap apa yang berlaku masih lagi di atas kehendak Allah S.W.T.

1.3(c) Aliran Al-Dirariyyah dan Pemikirannya

Aliran al-Dirariyyah juga merupakan salah satu daripada aliran al-Jabariyyah yang dipelopori oleh Dirar bin ‘Amru al-Kufi yang wujud di akhir pemerintahan Bani Umayyah. Pemikiran yang dibawa oleh Dirar ini juga dikatakan aliran yang moderat sebagaimana aliran al-Najjariyyah mengenai konsep kasb . Menurut fahaman ini Tuhan dan manusia bekerjasama dalam mewujudkan perbuatan-perbuatan manusia . Manusia tidak semata-mata dipaksa melakukan perbuatan mereka. Walaubagaimanapun pada hakikatnya setiap perbuatan manusia itu adalah diciptakan oleh Allah S.W.T.

Hubungan dengan budaya berfikir masyarakat Melayu

Diketahui umum bahawa Aqidah yang dianuti oleh masyarakat Islam di Malaysia ialah mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah atau al-Asya’irah. Pelopor kepada aliran mazhab ini ialah Abu al-Hasan ‘Ali bin Isma’il. Beliau merupakan keturunan yang kesembilan sahabat Nabi iaitu Abu Musa al-Asy’ari dan merupakan seorang tokoh ilmu kalam yang terkenal. Menurut Prof. Madya Dr. Wan Zailan Kamaruddin di dalam artikal yang membincangkan aliran Jabariyyah dan kesannya di Malaysia, beliau menyatakan sama ada sedar atau tidak akidah yang dianuti oleh masyarakat Islam di Malaysia ini adalah bersumberkan fahaman Jabariyyah . Aspek yang paling jelas dilihat dalam pengamalan masyarakat adalah dalam persoalan perbuatan manusia(af’al ‘ibad) dan perbuatan Allah(af’al Allah) sebagaimana yang ingin dihuraikan oleh penulis dalam menghubungkannya dengan corak berfikir masyarakat Malayu.

Di dalam artikal yang bertajuk “ Asal-Usul, Pengaruh dan Kesan Aliran Al-‘Asya’ari dan Al-‘Asya’irah di Malaysia dan Kepulauan Melayu” beliau telah memberi gambaran yang jelas bahawa terdapat dua aspek yang memperkuatkan hujah bahawa pengaruh al-Jabariyyah mendasari pegangan aqidah masyarakat Islam Malaysia. Dua aspek itu adalah (i) Bahan-bahan pengajaran dan pendidikan dan (ii) Tokoh-tokoh ulama’ yang menyampaikan ajaran tersebut . Maka dengan pengajaran yang berlaku, akhirnya meninggalkan kesan yang mendalam dalam pemikiran masyarakat Melayu sehingga mereka lebih cenderung menyerah kepada Allah sahaja dalam banyak perkara daripada berusaha mengatasinya. Penulis tidak berhajat untuk menghuraikan aspek ini dengan lebih lanjut, maklumat ini hanya sekadar untuk melihat bagaimana fahaman al-Jabariyyah mula bertapak dan akhirnya menjadi sumber utama aqidah bagi masyarakat Islam di Malaysia keseluruhannya. Huraian akan difokuskan lebih kepada bentuk berfikir atau budaya berfikir segelintir masyarakat Melayu yang dikatakan sebagai “ lemah ” hasil daripada pengaruh aliran al-Jabariyyah.

 

BUDAYA BERFIKIR MASYARAKAT MELAYU

Pendahuluan


Idea mengenai Pemikiran Kritis merupakan suatu konsep pemikiran yang telah lama diperbincangkan bahkan digunapakai oleh ulama’ Islam terdahulu dalam hal periwayatan hadith. Ia bukan suatu yang baru sebagaimana yang diperkenalkan oleh tokoh-tokoh pemikir barat sama ada tradisional mahupun moden seperti Socrates, Plato, Aristotle, Edward de Bono dan ramai lagi. Bahkan juga ilmu-ilmu hadith telah diajar di dalam sistem pendidikan kita di peringkat sekolah menengah apatah lagi di peringkat universiti terutama di dalam bidang Pengajian Islam.

Walaubagaimanapun ia hanya dilihat sebagai satu aspek teoritikal dalam pembelajaran di dalam kelas tetapi bukan satu aspek yang dapat membentuk pemikiran atau cara berfikir golongan pelajar secara praktikal. Apatah lagi untuk membentuk pemikiran masyarakat Melayu yang hanya bersandarkan pembelajaran tradisional iaitu kitab-kitab jawi yang merupakan warisan tradisi dan tidak terdedah kepada sistem pembelajaran semasa iaitu Sistem Pendidikan yang komprehensif dari sudut silibus mahupun pengisian.

Bangsa Melayu cukup kuat pegangannya dengan warisan tradisi mereka terutama budaya setempat dari segi kefahaman Islam, cara berfikir, hidup bermasyrakat dan banyak lagi. Malah mereka agak sukar untuk menerima suatu bentuk idea baru yang dirasakannya akan menggugugat stabiliti kehidupan apatah lagi yang bersangkutpaut dengan kefahaman agama mereka. Ini bermaksud masih wujud masyarakat Melayu lama yang terlalu bertaklid dan taasub kepada bentuk pemikiran tradisi yang telah berakar-umbi dalam pemikiran mereka sehinggakan tidak membuka ruang kepada mereka untuk berfikir lebih jauh, aggresif, menganalisa berasaskan sumber yang benar, apatah lagi untuk bersikap rasional dengan memahami realiti setempat.

Penulis berangapan idea untuk pembentukkan Minda Melayu Baru amat bertepatan dalam abad ke-21 harus dipergiat dikalangan pelajar lagi. Ianya akan dapat melahirkan bangsa yang dinamik sama ada dalam pemahaman Islam, cara berfikir mahupun melaksanakan sesuatu idea dengan dapat memahami kehendak dan tuntutan semasa serta tidak bertaklid serta taasub dengan warisan tradisional semata-mata. Maka dalam penerangan seterusnya penulis akan melihat beberapa aspek kelemahan budaya Melayu yang dikaitkan dengan kesan fahaman Jabariyyah sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini.

Dalam menghuraikan beberapa aspek ini penulis juga akan membawa contoh-contoh peribahasa yang sehingga ke hari ini masih lagi bermain di bibir masyarakat Melayu sama ada golongan muda mahupun tua. Peribahasa ini dilihat sudah sebati dengan pemikiran masyarakat sehinggakan mempengaruhi corak berfikir dan tingkah-laku.

Pertama: Aspek Takdir dan Nasib

 

Persoalan takdir ini amat berkaitan dengan persoalan al-Qada’ dan al-Qadr di dalam Islam. Walaubagaimanapun pemahaman yang cetek berkenaan persoalan itu di samping dipengaruhi pemikiran aliran Jabariyyah yang difahami daripada warisan tradisi sebagaimana yang dihuraikan sebelum ini masyarakat Melayu mempunyai fahaman yang berbeza daripada pemahaman Islam yang sebenar. Mereka mempercayai bahawa semua perkara telah ditentukan oleh Allah S.W.T sama ada baik atau buruk. Manusia tidak ada daya dan kuasa untuk mengubah ketetapan itu. Oleh itu manusia harus berserah kepada takdir yang ditentukan oleh yang maha kuasa, sekiranya mereka berusaha untuk mencapai kejayaan sedangkan Allah telah menetapkan mereka akan gagal maka mereka akan tetap gagal juga. Ini bermaksud segala usaha mereka sia-sia.

Di bawah ini terdapat beberapa peribahasa yang sinonim dengan masyarakat Melayu dalam menghuraikan persoalan takdir .

Untung sabut timbul, untung batu tenggelam
Secubit tidak dapat jadi segenggam
Yang sejengkal tidak dapat jadi sedepa
Malang tak boleh ditolak, mujor tak boleh diraih

Dalam pemerhatian penulis tidak terdapat satu pun pepatah Melayu yang menyatakan manusia boleh mempengaruhi takdirnya. Ini cukup jelas kepada kita bahawa pengaruh Jabariyyah cukup sebati dalam masyarakat Melayu sehinggakan telah dipaparkan ke dalam peribahasa Melayu. Bahkan sehingga ke hari ini ianya masih di paparkan di dalam buku-buku peribahasa Melayu. Seharusnya untuk mengelakkan daripada ianya terus dihayati oleh generasi akan datang pihak berwajib harus mencari usaha bersepadu untuk mengenalkan konsep-konsep peribahasa Melayu yang lebih berkonsepkan proaktif, agresif serta inovatif dalam menghadapi masa depan yang mencabar.

Sudah diakui bahawa fahaman sedemikian yang menganggap takdir adalah segalanya berlawanan dengan ajaran Islam. Pada hakikatnya manusia disuruh dan diwajibkan menggunakan akal dan berusaha menggunakan kebolehan yang dikurniakan Allah kepada mereka. Allah berfirman:“ Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri ” . Kalaulah takdir menentukan segalanya apa perlunya Allah S.W.T mengutus para nabi untuk membimbing manusia ke jalan yang lurus. Cuba lihat dari aspek rasioanal, kalaulah datang orang untuk merompak kita, adakah kita biarkan sahaja ianya berlaku dan berserah pada takdir? Tidakkah kita berusaha untuk menghalang daripada perkara itu berlaku? Bagi pandangan penulis kebanyakan masyarakat yang berpegang pada fahaman ini, adalah orang yang sentiasa mencari helah di atas kemalasan dan tidak mahu berusah lebih dan akhirnya hanya menyalahkan takdir apabila mereka tidak berjaya dalam kehidupan.


Kedua: Aspek Usaha dan Berdikari

 

Walaupun masyarakat Melayu mengggalakkan untuk berusaha tetapi sikap yang berserah pada nasib lebih kuat sehingga konsep usaha itu tidak dapat dilaksanakan dengan sepenuh hati. Sebagai contoh sikap “ ala kadar ” , “ cukup makan ” yang pada pandangan penulis harus dilenyapkan dari pemikiran generasi kini. Inilah antara satu sebab masyarakat Melayu ketinggalan dalam apa jua bidang terutama ekonomi dan pendidikan.

Tan Sri Dato’ Muhammad Ali Hashim menulis mengenai realiti sebenar masyarakat Melayu di dalam kertas kerjanya yang bertajuk Agenda Melayu: Ekonomi Melayu Pasca-Krisis Mencapai Kekebalan, “Pada hakikatnya, Melayu mempunyai dilema yang lebih hebat apabila dilihat di dalam konteks pencapaian Melayu yang masih jauh ketinggalan di dalam pelbagai bidang berbanding dengan pencapaian orang-orang bukan Melayu.....” .

Selain itu di dalam peribahasa Melayu juga kita dapat melihat betapa aspek usaha tidak dititikberatkan :

Belajar tinggi-tinggi akhirnya ke dapur juga
Ulat dalam batu pun ada rezekinya


Ketiga: Aspek Memandang ke Hadapan

Tedapat satu peribahasa Melayu yang menggalakkan untuk memandang ke hadapan iaitu, “ Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna ” , tetapi pengaruhnya di dalam masyarakat masih di tahap yang rendah. Ini adalah kerana sikap untuk berserah pada nasib masih lagi kuat dalam pemikiran masyarakat.

Keempat: Aspek Orientasi Akhirat keterlaluan

 

Di samping itu didapati masyarakat Melayu kurang mementingkan kehidupan di dunia mahupun untuk mencari kekayaan dan bersaing dengan bangsa lain. Ini adalah kerana fahaman ketentuan Allah yang mana semua akan mati dan akan meninggalkan segala-galanya di dunia. Sepertimana dapat dilihat dalam peribahasa iaitu “ Dunia ini pinjam-pinjaman, ke akhirat juga sudahnya ” . Selain itu pengamalan konsep ibadah sempit, mengutamakan bentuk ritual persendirian, kurang aspek kemasyarakatan dalam bidang mu’amalat, akhlak, persekitaran sosial dan fizikal, kebajikan komuniti, masyarakat dan umah serta pengamatan konsep takdir yang keterlaluan dan sempit dan hanya berserah pada nasib. Sedangan dalam Islam, Allah menyuruh hambanya berusaha dengan gigih di dunia dalam mencari kekayaan dengan cara yang halal walaupun akhirat adalah keutamaannya.

Kelima: Aspek Sindrom Mediokriti(Pencapaian Rehdah)

Ramai di antara masyarakat Melayu sama ada golongan Muda, Tua, peniaga, pelajar mahupun orang awam yang bersikap dengan “ sikap tidak apa ” dalam banyak hal. Ini adalah kerana semua itu telah ditetapkan oleh Allah. Justeru atas sikap itu mereka terus tidak mahu cuba merobah fikiran yang lebih jauh sehinggakan berpuas hati dengan pencapaian “cukup makan”, cari jalan mudah dalam banyak hal, dan kurang daya fikiran untuk bersaing terutama apabila mereka hanya di dalam kelompok Melayu sahaja.

Keenam: Sindrom Pergantungan

Sikap terlalu bergantung kepada nasib dan takdir akhirnya sikap ini terbawa-bawa kepada kebergantungan kepada hal yang bercirikan keduniaan. Sebagai contoh biasiswa, subsidi, pinjaman, kontrak daripada kerajaan dan banyak lagi. Akhirnya ini akan melemahkan dan membantutkan kreativiti dan inovasi terutama dalam pemikiran dan tindakan termasuk pembangunan masyarakat. Kesannya seperti kemunduran serta tidak dapat bersaing dengan bangsa lain. Sehinggakan ramai di antara graduan Melayu yang menganggur terutama daripada lulusan agama selepas tamat pengajian disebabkan sikap kebergantungan sepenuhnya kepada kerajaan untuk mendapatkan kerja. Mereka seolah-olah tidak boleh berfikir dan kreatif untuk mencipta peluang sendiri seperti melibatkan diri dalam perniagaan dan pelbagai peluang lain .

Ketujuh:Ketakutan kepada Matematik dan Sains

Akibat daripada fahaman yang sempit dan malas berfikir serta tidak mahu meningkatkan usaha dan komitmen yang lebih, ramai di kalangan pelajar melayu tidak berapa minat untuk mengikuti pengajian sains di peringkat universiti. Tetapi tidak dinafikan masih lagi ada pelajar yang mempunyai kesungguhan dengan usaha yang berterusan dan akhirnya berja dalam pelajaran mereka.

Kelapan: Kesalahfahaman Tafsiran Ayat-Ayat Al-Quran

Di dalam beberapa sumber yang membincangkan persoalan aliran Jabariyyah ini, terdapat ayat-ayat al-Quran yang disandarkan oleh kaum aliran ini sebagai sokongan kepada pemahaman mereka iaitu segala perkara yang berlaku adalah di bawah pengusaan Allah dan manusia tidak mempunyai ikhtiar dalam apa jua yang berlaku. Oleh itu di dalam bahagian ini penulis ingin melihat beberapa ayat yang yang disandarkan kepada aliran Jabariyyah ini dari perspektif tafsir. Adakah ia benar-benar merujuk kepada apa yang difahami oleh golongan Jabariyyah atau pun terdapat tafsiran lain di sebaliknya.

Contoh Ayat:

Kalau sekiranya Kami turunkan malaikat kepada mereka, dan orang-orang yang telah mati berbicara dengan mereka dan Kami kumpulkan(pula) segala sesuatu kehadapan mereka niscaya mereka tidak (juga) akan beriman, kecuali jika Allah menghendaki, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

SurahAl-An’am(6):112.

Penekanan yang khusus dibuat adalah pada maksud “niscaya mereka tidak(juga) akan beriman kecuali jika Allah menghendaki”. Pada hakikatnya ayat ini untuk menerangkan sikap keras kepala, kejahilan kaum musyrikin dan sikap mereka terhadap kerasulan Muhammad S.A.W iaitu akan beriman apabila telah melihat sendiri mukjizat risalah kerasulan dan bukti-bukti lain. Menurut tafsiran Ibn Kathir, walaupun bukti itu akan diberikan kepada mereka sedangkan Allah dengan kekuasaannya masih tidak mahu memberi hidayah untuk mereka beriman maka mereka tetap akan kufur . Sesungguhnya mereka yang telah ditetapkan oleh Allah dalam Lauh Mahfuz bahawa mereka akan mati dalam kekufuran seperti kaum musyrikin ini, maka selamanya mereka tidak akan beriman walaupun segala macam bukti dipaparkan. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

Sesungguhnya orang-orang yang telah pasti terhadap mereka kalimat Tuhanmu, tidaklah akan beriman. Meskipun datang kepada mereka segala macam keterangan, hingga mereka menyaksikan azab yang pedih.

Surah Yunus (10):96 – 97.

Jika dilihat daripada tafsiran ayat tersebut ianya menunjukkan kepada kekuasaan Allah dari aspek memberi hidayah. Semestinya aspek hidayah adalah di bawah kekuasaan dan kehendak Allah dan tidak ada hubungkaitnya dengan kekuasaan, ikhtiar mahupun usaha manusia. Maka pada pandangan penulis ayat ini tidak ada hubungkait yang kuat untuk menyokong pendapat Jabariyyah.

Dalam huraian di atas penulis hanya membuat pembahagian aspek ringkas dalam menerangkan corak berfikir masyarakat Melayu yang sedikit sebanyak menunjukkan wujud unsur Jabariyyah di dalamnya. Walaupun sebahagiannya tidak berapa menonjol di samping wujud unsur sampingan lain. Telah dilihat bahawa kesan pemikiran membawa impak yang amat besar kepada mana-mana bangsa khususnya Melayu sebagaimana yang dibincangkan.

 

ANJAKAN PARADIGMA BANGSA MELAYU DALAM PEMIKIRAN

Pendahuluan


Dalam Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 1988, Dato’ Seri. Dr.Mahathir Mohamad(Tun Mahathir Mohamad) telah mengingatkan orang Melayu di dalam ucapan dasarnnya, “ ....pegangan kepada agama Islam akan menjadi benteng kepada orang-orang Melayu dan orang-orang Islam yang lain. Dalam kita mengejar kemajuan, penekanan akan diberi kepada pembentukan peribadi yang benar-benar Islam.”

Kita harus melihat ucapan itu sebagai satu ucapan dalam konteks realiti dan bukan dalam konteks politik kepartian. Penulis berangggapan bahawa penekanan kepada pembentukan peribadi yang benar-benar Islam amat diperlukan pada waktu ini. Ianya harus merangkumi pelbagai aspek termasuklah aspek pemikiran.

Pada awal 70an, di mana ketika itu masyarakat Melayu dirangsang untuk menjalani “ revolusi mental ”, terutama dalam aspek ekonomi dan kemajuan, tetapi mereka mengalami satu konflik jiwa dan pertentangan nilai . Ini berlaku adalah kerana arus kemajuan yang ingin dibawa itu adalah untuk menghasilkan “Kapitalis- Melayu-Muslim yang tidak mendasarkannya kepada kemajuan yang di saran oleh Islam tetapi berpaksikan barat . Akhirnya lahirlah usahawan yang tidak bercirikan dengan norma dan etika Islam yang sebenar . Pada hakikatnya revolusi itu tidak menguntungkn Islam. Oleh itu anjakan terhadap melahirkan Melayu Baru yang mempunyai kefahaman Islam yang sebenar adalah penting terutama dalam aspek pemikiran sebagaimana yang dibincangkan dalam kertas kerja ini.

Minda Melayu dan Pemikiran Kritis

Melayu Baru dalam perbincangan yang ingin diterangkan bukanlah Melayu yang hidup serba moden serta meninggalkan keIslamannya. Tetapi Melayu yang mengalami tajdid atau pembaharuan dalam pemikiran, kefahaman, komitmen dan penghayatan yang mendalam terhadap Islam supaya akan menjadi umat yang benar-benar competent dalam menghadapi cabaran abad ke-21 ini.

Apakah yang didefinisikan sebagai Melayu Baru? Siddiq Fadil telah mendefinisikannya sebagai Melayu yang diperbaharui komitmen keIslamannya, berjiwa merdeka yang sujud, ruku’ dan setia mutlaknya hanya kepada Allah, Melayu yang telah mendapatkan semula kemuliaan status dan martabat keinsanannya, Melayu yang bangga menjadi umat terbaik kerana imannya serta Melayu yang tahu erti hidup dan mati sebagai persaingan prestasi amal cemerlang dan Melayu yang mempunyai semangat jihad yang tinggi dengan memperoleh kekuatan rohaniah untuk menghayati kemakrufan dan menghindari kemungkaran .

Pada pandangan penulis definisi yang diberikan di atas sangat menarik kerana ianya merangkumi aspek fizikal dan juga spiritual yang dapat melahirkan bangsa Melayu yang mampu berfikir dengan bebas dengan berpaksikan sumber-sumber Islam dan bukan hanya semata-mata mengikut ajaran warisan secara bertaklid. Sebagai contoh fahaman jabariyyah yang cuba dijelaskan oleh penulis di dalam kertas kerja ini.

Pada hakikatnya jika dilihat dengan teliti masyarakat Melayu terutama golongan tua, sudah sebati dengan fahaman menyerah kepada takdir dan nasib dalam apa jua hal sehinggakan menyebabkan mereka mundur dan ketinggalan dalam arus kemajuan kini. Huraian ini telah dipaparkan oleh penulis sebelum ini. Jika ini masih berlaku amat malanglah sekali, dan berkemungkinan masyarakat Melayu akan kekal dalam keadaan da’if dan ketinggalan. Maka dengan ini penulis amat menyokong jika terdapat pihak yang ingin mengetengahkan semula peri pentingnya aspek-aspek pemikiran kritis Islam dalam arus perdana terutama dalam sistem pendidikan kita.

Dalam huraian seterusnya penulis akan cuba menghuraikan secara ringkas apakah yang dimaksudkan dengan pemikiran kritis dan bagaimanakah dengan penanaman aspek cara berfikir dengan kritis ini akan dapat menangkis fahaman negatif seperti Jabariyyah sehingga dapat melahirkan bangsa Melayu yang mampu bersaing di pentas dunia.

Terdapat pelbagai definisi yang dibawa oleh para ilmuan berkenaan dengan pemikiran kritis ini. Di antaranya sebagaimana yang dikemukakan oleh Mohd Michael Abdullah di dalam bukunya “Pemikiran Kritis” iaitu suatu bentuk pemikiran yang “ bukan sahaja yang membincangkan soal nilai(baik/buruk) tetapi juga soal fakta (benar/salah), soal bahasa (jelas/kurang jelas), dan terutama sekali soal susunan hujah (sah/tak sah)” .

Manakala di antara definisi yang di bawa oleh Mohd. Azhar Abd Hamid di dalam bukunya “Pengenalan Pemikiran Kritis dan Kreatif” sebagaimana yang diutarakan oleh Nik Azis iaitu “ Secara kasar pemikiran kritis ialah pemikiran yang meletakkan logik antara gerak hati dengan tindakan. Pemikiran kritis akan menganalisa isu-isu, tetapi berfikir secara holistik dan melihat masalah dari berbagai-bagai dimensi. Mereka berusaha menyelesaikan masalah dan bukan bergiat mencetuskan pelbagai krisis baru”.

Dua definisi yang diberikan di atas dilihat dari aspek definisi atau teoritikal sahaja. Tetapi Mohd Senu Abdul Rahman mengemukakan definisi dan seterusnya dapat dijadikan langkah atau metod yang bercorak praktikal atau penyelesaian kepada masalah bagi seseorang yang berfikiran kritis. Ianya dapat disimpulkan sebagai mereka yang dapat memahami sesuatu isu atau perkara yang dibincangkan atau dihadapi, mencari jalan-jalan penyelesaian, menilai beberapa jalan penyelesaian itu dan memilih yang terbaik, membuat rancangan untuk melaksanakannya seterusnya melaksanakan perancangan itu dan akhirnya menilai sama ada ianya berkesan atau pun tidak. Selepas itu penelitian semula harus dilakukan dengan berdasarkan pengalaman lampau .

Penulis membuat kesimpulan bahawa setiap apa-apa definisi yang diutarakan sekalipun mungkin ianya dilihat benar pada penyusunan ayat, dari kaca mata penilai, mahupun hujah yang diberikan wajar atau munasabah tetapi belum tentu ia diterima dari kaca mata Islam iaitu dari sudut al-Quran dan As-Sunnah. Maka dengan ini penulis lebih cederung ke arah memilih definisi yang dikemukakan oleh Nik Azis seperti di atas kerana ianya merangkumi aspek berfikir secara holistik yang pada pandangan penulis ianya merangkumi asas-asas falsafah Islam yang tinggi iaitu Tauhid.

Kembali kepada perbahasan kesan Aliran Jabariyyah sebagai penghalang kepada cara berfikir masyarakat Melayu. Sama ada sedar atau tidak, hakikatnya fahaman berserah pada takdir dan nasib yang diwarisi dari generasi terdahulu masih lagi dirasai oleh masyarakat Melayu sama ada golongan tua atau pun muda dan sama ada berpendidikan atau pun tidak. Dan ianya dilihat sabagai satu sebab kemunduran masyarakat Melayu Islam terutama di Malaysia di samping aspek-aspek lain.

Penulis melihat bahawa pada hakikatnya generasi Melayu kini masih belum bersedia dengan pendekatan pemikiran kritis ini untuk diketengahkan. Ini adalah kerana peratus untuk melahirkan generasi yang mampu berfikir dengan baik atau generasi yang mempunyai minat untuk melahirkan idea-idea baru yang kreatif cukup sukar apatah lagi untuk menangani isu-isu terkini yang melibatkan kajian yang mendalam dari pelbagai sudut. Jika dilihat di Institut Pengajian Tinggi Awam(IPTA) golongan pelajar dari jurusan agamalah akan memikul tanggungjawab ini.

Tetapi hakikatnya pelajar-pelajar ini masih tidak mempunyai pemikiran yang terbuka dan mempunyai sumber yang terhad iaitu hanya berdasarkan nota-nota di bilik kuliah sahaja. Dan ada juga sebahagian daripada mereka berjuang hanya untuk mendapatkan gred yang baik di dalam peperiksaan semata-mata dan tidak pula benar-benar memahami apa yang dipelajari. Manakala segelintir daripada mereka pula telah ditanam dengan fahaman kepartian yang mendalam. Di sini penulis melihat bahawa semua itu memerlukan usaha dan komitmen yang berterusan dan istiqamah. Adakah kita melihat generasi Melayu Islam berada dalam kapasiti itu berbanding generasi lain?

Penutup

Walaubagaimanapun sebagai kesimpulan awal, penulis optimis dengan pembangunan untuk melahirkan generasi baru yang berfikiran kritis dan tidak hanya bertaklid atau menerima bulat-bulat apa sahaja yang mereka terima.

mtaabs.png

TOWN HALL MAQASID SYARIAH

Bersama YB. Datuk Seri Dr. Mujahid Bin Yusof

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama)

WhatsApp Image 2019-08-24 at 1.00.57 AM.

22 Ogos 2019, Muadzam Shah Pahang: 

Pengerusi Masjid Tengku Ampuan Afzan Bandar Satelit(MTAABS) Muadzam Shah, Pahang iaitu Dr. Khairulnizam bin Mat Karim telah diamanahkan selaku Moderator dalam Siri Town Hall Maqasid Syariah bersama YB Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri(Agama). Program ini telah berlangsung di UNITEN Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Muadzam Shah, Pahang.

Siri Town Hall Maqasid Syariah ini adalah merupakan salah satu program utama dalam Karnival Rahmah Muadzam Shah 2019 yang dianjurkan oleh JAKIM, YADIM dan Politeknik Muadzam Shah, Pahang dari 21-23 Ogos 2019.

Tujuan utama Siri Town Hall Maqasid Syariah ini adalah untuk menerangkan secara langsung kepada masyarakat akar umbi khususnya di Muadzam Shah tentang dasar baru  Pentadbiran Islam bagi  Kerajaan Malaysia. Dasar ini merangkumi 3 teras utama kepada konsep Negara Rahmah iaitu:

1) Konsep Rahmatan Lil 'Alamin: Islam sebagai rahmat bagi sekalian alam membawa keamanan, kemakmuran dalam masyarakat.

2) Maqasid Syariah: Pentabiran berasaskan Maqasid Syariah yang menekankan aspek penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

3) Model Malaysia: Tampil dengan Model Malaysia yang sesuai dengan keadaan (waqi'), adat dan budaya bangsa Malaysia tanpa meninggalkan asas-asas Islam

Warga MTAABS mengucapkan Tahniah kepada Dr Khairulnizam.

mtaabs.png

En. Ahmad Mu'az menerima sumbangan daripada Dr. Khairul, Pengerusi MTAABS

WhatsApp Image 2019-07-29 at 11.45.05 AM

Dr. Khairul, Pengerusi MTAABS bersama En. Sono & Puan Kamilah dalam program ziarah ahli kariah sempena kelahiran cahaya mata kembar.

WhatsApp Image 2019-07-29 at 11.45.42 AM
Program Ziarah MTAABS
mtaabs.png

Pengerusi MTAABS, Dr. Khairulnizam Mat Karim memenuhi jemputan sebagai Panel Forum Wanita, sempena Hari Wanita Pinggir Pelangi 2019

Tajuk Forum: Wanita Dambaan Syurga
Tarikh: 17 Mac 2019
Penganjur: Rukun Tetangga(KRT) Pinggir Pelangi,  Muadzam Shah, Pahang

mtaabs.png

Majlis Sumbangan Kewangan oleh YB IR Razali Kassim kepada Pengerusi Masjid & Surau Kawasan Muadzam Shah sempena Ramadhan 1440H/2019 M.

Tarikh: 19 Mei 2019
Tempat: Restauran Ikhwan Delight

Dr. Khairulnizam Mat Karim, Pengerusi MTAABS menerima sumbangan

Dr. Khairulnizam Mat Karim memberi tazkirah ringkas sebelum berbuka puasa

mtaabs.png

“ ESOK AKAN TIBA SAATNYA HARI RAYA ‘IDUL FITRI”

-DR.KHAIRULNIZAM MAT KARIM

PENGERUSI MASJID TENGKU AMPUAN AFZAN

BANDAR SATELIT(MTAABS), MUADZAM SHAH, PAHANG

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Segala puji bagi-Nya, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam atas junjungan-Nya, Nabi Muhammad S.A.W dan keluarganya, sahabatnya dan seluruh pengikutnya yang benar.

 

Sidang Jemaah MTAABS dan Ahli Kariah yang dikasihi sekalian. Perutusan ini bertujuan mengakhiri Kuliah Ramadhan yang telah berlangsung sepanjang Ramadhan 1440H/2019M di MTAABS serta sempena menyambut Hari Raya ‘Idul Fitri 1440H/2019M.

 

Sempena Hari Raya ‘Idul Fitri yang bakal menjelang ini, kami para Pegawai dan AJK Masjid Tengku Ampuan Afzan Bandar Satelit(MTAABS), ingin menyusun sepuluh jari memohon kemaafan jika terdapat perkara yang tidak disenangi sama ada tutur kata mahupun tindakan semasa kami mengurus institusi MTAABS ini. Kami juga berharap para jemaah dan ahli kariah sekalian agar terus memenuhkan saf-saf di MTAABS serta turut memberi sokongan dan dokongan kepada barisan Pegawai & AJK MTAABS dalam setiap proses pembangunan yang dilaksanakan bagi mencapai Visi MTAABS iaitu “Menjadi Sebuah Institusi Ibadah, Perkembangan Ilmu & Pemerkasaan Sosio-Budaya Yang Holistik Dalam Mengisi Proses Pemberdayaan Ummah”. In shaa Allah.

-:-

Hari Raya akan menjelang tiba esok hari(beberapa hari). Apakah makna Hari Raya? Bagaimana Islam memberi panduan untuk kita merayakannya?

 

Hari Raya bukan membawa makna untuk kita yang memakai pakaian baru sahaja dan bukan untuk kita menyombongkan diri dengan persiapan menyambut Hari Raya secara berlebihan. Hari Raya hanya untuk seseorang yang memahami dirinya selaku hamba yang takut akan hari kiamat dan untuk orang yang bertambah takwanya kepada Allah S.W.T. Sebagaimana ayat 183 daripada Surah al-Baqarah yang biasa diperdengarkan di sepanjang bulan Ramdhan ini. Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

Hari Raya bukanlah waktu untuk bersenang-lenang dan berfoya-foya. Hari Raya juga bukanlah meluangkan masa pada perkara tiada berguna atau lagha . Akan tetapi Hari Raya adalah hari bersyukur kepada Allah S.W.T atas nikmat yang diberikan. Ia juga adalah hari pengakuan akan anugerah Allah S.W.T dan hari menampakkan nikmat Allah S.W.T yang diberikan kepada kita semua. Hari Raya adalah hari berkunjung ke tempat saudara Mukmin sehingga nampak jelas kemuliaan agama Islam ini.

 

Pada Hari Raya terdapat beberapa perkara yang perlu dititikberatkan. Antaranya:

     1. Bagi yang belum melaksanakan zakat fitrah, wajib dilaksanakan sebelum tiba Hari Raya. Zakat fitrah dapat menyucikan jiwa/diri, membahagiakan fakir miskin,

        membangunkan jiwa tolong-menolong, berkasih sayang antara kaya dan miskin, senang dan susah dan melenyapkan sifat bakhil dan kedekut yang menghimpit

        jiwa kita.

     2. Makan di pagi raya sebelum mengerjakan solat sunat ‘idul Fitri iaitu dengan memakan beberapa biji kurma/juadah untuk mengerjakan perintah Allah S.W.T yang

        berupa berbuka di hari itu.

     3. Memakai pakaian baru(suci lagi bersih) dan memakai wangian bagi menghormati keindahan Zat Yang Maha Indah, iaitu Allah S.W.T dan untuk berhias diri di

       hari raya. Ketahuilah bahawa Allah S.W.T itu Maha Indah dan suka akan keindahan. Selain itu memakai pakaian baru juga boleh menunjukkan nikmat

       Allah S.W.T.

     4. Pada saat Hari Raya laksanakanlah kunjung-mengunjung, ziarah-menziarahi kepada sebahagian yang lain dengan mengucapkan salam, saling bersahabat dan

        saling berkasih sayang.

     5. Hari Raya adalah hari silaturrahim, hari mendekatkan yang jauh, merapatkan yang dekat, hari berlaku baik pada kedua orang tua, hari bersikap kasih sayang pada

        fakir miskin dan hari membina tautan bersama jiran tetangga.

     6. Hari Raya menurut orang Islam adalah hari kebahagiaan iman yang terpendam.

     7. Hari Raya mengingatkan kita pada hari kiamat nanti kerana di Hari Raya akan berkumpul orang kaya bersama fakir miskin, anak-anak kecil dengan orangorang

        dewasa, para pemimpin dengan yang dipimpin dan orang yang bahagia dengan orang yang sedih.

     8. Hari Raya adalah hari menerima kemenangan, sesiapa yang berpuasa dan melakukan qiyam di malam harinya dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka ia

        akan mendapat kemenangan yang sangat besar, ia akan mendapat kebahagiaan yang besar dan juga mendapat pahala yang agung. InshaAllah.

Sesiapa yang menyalahi puasanya dan menganggap remeh akan kewajipan kepada Tuhannya serta melampaui batas yang telah dishariatkan, maka mereka akan rugi dan akan menyesal.

 

Manusia yang kembali dari tempat solat raya terbahagi kepada dua kelompok:

 

     1. Satu kelompok mendapat pahala kerana mereka selalu bersyukur atas anugerah yang diberikan melaksanakan kewajipan dengan keikhlasan dan keihsanan yang

        tinggi kepada Allah S.W.T.

     2. Manakala kelompok yang kedua merupakan kelompok yang rugi yang kembali dengan penuh penyesalan, rasa malu dan terhalang dari anugerah Allah S.W.T di

        atas pelaggaran kewajipan yang dilakukan.

 

Wahai sahabat-sahabat se-Islam, mari kita berfikir sejenak tentang orang yang solat bersama kita di Hari Raya pada tahun lalu. Sama ada ia ayah, datuk, ataupun sahabat handai. Di manakah mereka kini? Ke manakah mereka pergi? Di mana mereka berpindah? Adakah mereka masih hidup? Atau adakah mereka telah bertemu Allah S.W.T? Jika telah bertemu Allah S.W.T maka sudah pasti mereka tidak menikmati Ramadhan yang berkat pada tahun ini. Tetapi kita yang hidup kini adakah kita menikmati Ramadhan yang telah berlalu pergi???

 

Esok hari raya, dengan izin Allah S.W.T kita semua akan mendapat kemenangan. Semua ganjaran kepada amalan yang dilakukan akan ditulis di dalam buku catatan amal. Oleh sebab itu, berharaplah dengan sunguh-sungguh untuk mendapatkan kebaikan di hari itu, lihatlah hari kemenangan hakiki yang sebenar, yang sangat agung iaitu di hari kiamat kelak. Semoga Allah S.W.T memberikan kemenangan, keampunan serta rahmat-Nya di hari kiamat nanti bagi kita semua.

Firman Allah S.W.T dalam Surah Ali Imran ayat 185, yang bermaksud;

Ya Allah, terimalah amalan ibadah kami kerana Engkau adalah Zat Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Terimalah taubat kami semua kerana sesungguhnya Engkau adalah Zat Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. Amin.

Wallahu a’lam.

 

29 Ramadhan 1440H/ 3 Jun 2019M

 

*olahan semula daripada kitab Durus al Masjid Fi Ramadhan, karangan Dr. A’idh Abdullah Al-Qarni

Wahai orang-orang Yang beriman! diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertaqwa.

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka sungguh ia telah beruntung. Kehiduapan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdaya.

bottom of page